Keistimewaan Pembaca al-Quran di sisi Allah…

Leave a comment

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Sya’ban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “KEISTIMEWAAN PEMBACA AL-QURAN DISISIALLAH SWT”.

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Al-Quran ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan senjata paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan. Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda: Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, Tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat. Kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu  juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Banyak hadith-hadith yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW:

 

Bermaksud:“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)

 

 

 

Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW:

ِ

Maksudnya: “Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya.(Riwayat Muslim)

 

 

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama  dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa  untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.

Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup.kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.

Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke53 yang akan diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur bermula dari 16hb hingga 23hb Julai 2011 bertemakan “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”, menyeru para jemaah sekalian untuk sama-sama menghadiri majlis tersebut bagi mendengar dan menghayati kandungan dan pengajaran daripada ayat-ayat suci al-Quran yang akan diperdengarkan oleh para Qari dan Qariah dari seluruh dunia. Semuga dengan kehadiran kita ke majlis tersebut akan menyerikan lagi dan mendapat rahmat dari Allah SWT serta dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45:

 

Maksudnya: “ Dan apabila kamu membaca Al-Qur’an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.

 

 

Yang Ikhlas,

Afez

Nikmat Syurga vs Nikmat Neraka…

Leave a comment

 

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang…

Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…

Assalamualaikum…

 

“Kami ciptakan mereka (bidadari-bidadari itu) secara langsung, lalu Kami jadikan mereka perawan-perawan, yang penuh cinta (dan) sebaya umurnya, untuk golongan kanan, segolongan besar dari orang-orang terdahulu, dan segolongan besar dari orang yang kemudian.”

(Surah Waqi’ah: ayat 35-40)


Berdasarkan ayat di atas, kita dapat bayang betapa besarnya nikmat kehidupan di syurga. Walaubagaimanapun, akal manusia tidak dapat membayangkan sepenuhnya suasana di syurga kerana Allah swt telah menciptakan syurga sebaik-baik tempat dan tempat yang paling indah juga adalah di syurga. Di dalam terdapat beberapa sungai yang mengalir di dalamnya air seperti arak, susu dan madu yang jernih. Di dalamnya juga terdapat buah-buahan yang jarang didapati dan saiznya agak besar-besar belaka. Selain itu, terdapat juga pokok-pokok yang dibawahnya terdapat bidadari-bidadari yang cantik dan sebaya umurnya. Semuanya masih dara dan akan kekal kekal sebegitu. Ramai orang yang mengimpikan kehidupan di sana, itulah lumrah kehidupan manusia.

 

“Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan itu, (Mereka) diseksa dengan angin yang sangat panas dan air yang mendidih, dan naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak pula menyenangkan, Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup (dahulu) hidup bermewah-mewah, dan mereka terus menerus mengerjakan dosa-dosa besar.”

(Surah Waqi’ah: ayat 41-46)


Lihatlah ayat di atas, betapa seksanya hidup dalam neraka jahannam. Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa betapa buruknya suasana di dalam neraka. Nabi saw juga pernah bersabda tentang betapa jijiknya masyarakat yang menghuni neraka Jahannam. Mereka akan memakan makanan yang terdiri daripada bangkai dan nanah dan minuman mereka adalah lahar neraka jahannam yang teramatlah panasnya. Selain itu, disediakan 70 000 daerah, di dalamnya setiap daerah terdapat 70 000 kampung, di dalam setiap kampung terdapat 70 000 rumah, di dalam setiap rumah terdapat 70 000 bilik, di dalam setiap bilik ada satu pokok zaqum, di dalam pokok zaqum ada dua buah kotak. Kotak yang pertama terdapat 70 000 ekor ular yang mana di dalam mulutnya penuh dengan bisa berwarna hitam pekat yang sedia untuk mematuk orang-orang yang berdosa dan panjangnya adalah 70 hasta. Manakala kotak yang kedua terdapat 70 000 rantai untuk dibelenggu. Rantai itu ditarik oleh 70 000 malaikat.

Wahai sahabat-sahabat yang dihormati, sampai bilakah kita harus leka dalam mengejar nikmat dunia. Padahal kamu sendiri tahu bahawa dunia ini adalah tempat persinggahan sementara untuk mencari bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti. Jadi, mengapa masih ada di antara kita yang mengabaikan akhirat dan sebaliknya mementingkan dunia seolah-olah dunia adalah kekal dan akhirat itu tidak wujud.

Siapa yang boleh menjamin kebahagiaan kita di akhirat sana kecuali diri sendiri. Janganlah mengaharapkan orang lain untuk menegur kesilapan yang kita lakukan. Dan janganlah dihina orang yang member teguran kepada kita. Tidak yang keburukan yang kita dapat jika ditegur kecuali kebaikan selagi teguran itu tidak menyalahi undang-undang Islam.

Kepada manusia yang gemar mempermainkan perasaan orang lain. Samapai bilakah anda ingin terus sakit menyakiti perasaan orang sekeliling. Ingatlah, bahawa balasan seksa yang dijanjikan Allah adalah benar dan tidak terperi sakitnya. Jagalah harga diri dan maruah mu. Janganlah disalahgunakan kelebihan yang diberi oleh Allah s.w.t. kepada kita. Allah s.w.t. mengurniakan rasa cinta dalam diri kita bukanlah untuk kita gunakan di jalan yang salah. Tetapi sebaliknya Allah s.w.t. menginginkan kita untuk kasih-mengasihi ahli keluarga, sahabat-sahabat dan saudara mara yang lain. Jadi, bagaimana anda boleh menyalahgunakan ia. Kita dikurniakan akal untuk berfikir mencari kebenaran dan yang haq, bukannya mencari kebatilan dalam hidup.

Sesungguhnya, pintu taubat itu tidak akan tertutup selagi matahari tidak terbit dari barat dan tidak akan tertutup pintu taubat itu sebelum kita tiba di saat nyawa ditarik. Janganlah ditangguh-tangguhkan waktu untuk bertaubat itu, bimbang kita akan mati dalam keadaan kufur dan dipenuhi dengan dosa dan maksiat. Waallahu’alam……

 

Yang Ikhlas,

Afez

Tanda-tanda kiamat…

Leave a comment

 

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang…

Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…

 

Assalamualaikum…

 

“Dan kamu menjadi tiga puak, iaitu puak pihak kanan, alangkah bahagianya bahagianya puak pihak kanan itu, dan puak pihak kiri, alangkah seksanya puak pihak kiri itu, dan yang ketiga ialah orang-orang yang terdahulu dalam (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga), mereka itulah orang-orang yang dekat (kepada Allah)”

(surah Waqi’ah: ayat 7-11)

 

 

Dalam surah di atas jelas menceritakan tentang keadaan masyarakat semasa mereka dihimpukan oleh Allah swt. Yang menjadi persoalannya, puak pihak manakah yang menjadi idaman hati? Adakah puak pihak kanan atau puak pihak kiri. Cuba kita renungkan kembali diri yang serba kekurangan ini. Adakah kita sedar akan perbuatan yang telah kita lakukan sepanjang kita hidup di muka bumi yang bertuah ini? Adakah kita sedar berapa banyakkah perkara-perkara munkar yang telah kita lakukan? Sedangkan kita sendiri leka dengan hal-hal duniawi sehinggakan hal-hal ukhrawi kita abaikan.

 

Wahai sahabat yang dikasihi,

 

Memang benar kita semua adalah manusia biasa yang tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan, tapi sampai bilakah kita ingin melakukan kesilapan yang sama. Sedangkan Allah swt sentiasa memberikan kita peluang untuk bertaubat dan memohon keampuan kepadaNya. Tidakkah terdetik di dalam hati kita tentang bagaimana cara kita mati. Adakah dalam keadaan beriman atau dalam keadaan kufur, fasik dan musyrik. Jika kematian kita dalam keadaan Islam, maka beruntunglah kita. Tapi bagaiman jika kematian kita dalam keadaan yang sangat hina di pandangan Allah swt. Layakkah kita mendapatkan keampunan dari Allah swt. Layakkah kita mendapatkan belas kasihan dan cinta Allah swt. Fikirlah, adakah kita hendak tunggu sehingga usia tua tiba baru hendak bertaubat. Jika itulah yang bermain di fikiran, adakah benar kita akan mencecah usia tua. Bagaimana pula jika usia kita hanya mencecah 20 atau 30. Bilakah masanya untuk kita bertaubat.

 

Tidak akan datang kiamat selepas 10 perkara iaitu:

 

1. Asap yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit seperti selesema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.

2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.

3. Dabbah, binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.

4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.

5. Turunnya kembali Nabi Isa a.s.. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahdi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleh orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.

6. Keluarnya bangsa Ya’juj dan Ma’juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

7. Gempa bumi di Timur.

8. Gempa bumi di Barat.

9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.

10. Api besar yang akan keluar dari Yaman.

 

 

Di sini terdapat satu kisah yang ingin dikongsikan bersama sahabat-sahabat semua. Dikatakan Dajjal tidak akan dapat menumbusi kota Mekah kerana di pintu kota Mekah terdapat Dua malaikat yang menjaganya. Tetapi itu tidak membatalkan usaha Dajjal untuk mempengaruhi umat Islam di sana.

Dajjal akan mendarat di puncak salah satu gunung di pinggir kota Mekah. Saat Dajjal tiba di puncak gunung itu, akan berlakunya gegaran di kota Mekah seakan-akan gempa bumi. Saat gegaran itu berlaku, ramai manusia-manusia yang mendiami kota Mekah akan lari bertempiaran keluar dari kota Mekah akibat kepanasan dan manusia-manusia inilah sebenarnya golongan munafik yang mendiami kota Mekah selama ini. Dan saki baki yang tinggal dalam kota Mekah itulah golongan hamba yang beriman dan soleh. Dikhabarkan golongan yang paling ramai lari keluar dari kota Mekah ialah WANITA dan kanak-kanak.

 

Jadi, masihkah tidak cukup dengan bukti-bukti di atas. Apakah kita akan tunggu berlakunya salah satu tanda itu, baru mencari keinsafan. Ya, memang benar golongan yang paling ramai menghuni neraka adalah WANITA, tapi jangan lupa satu fakta dan janji Allah bahawa yang akan mendahului ke syurga ialah WANITA. Yang mana satu pilihan hati? Jika inginkan syurga, maka jadilah hamba yang taat.

Bukan mudah untuk menikmati keindahan syurga dan bukan mudah juga untuk merasai keperitan neraka. Kita adalah sama manusia dan sama-sama adalah hamba Allah yang lemah lagi hina.

 

Yang Ikhlas,

Afez