Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Sya’ban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “KEISTIMEWAAN PEMBACA AL-QURAN DISISIALLAH SWT”.

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Al-Quran ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan senjata paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan. Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda: Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, Tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat. Kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu  juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Banyak hadith-hadith yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW:

 

Bermaksud:“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)

 

 

 

Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW:

ِ

Maksudnya: “Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya.(Riwayat Muslim)

 

 

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama  dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa  untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.

Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup.kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.

Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke53 yang akan diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur bermula dari 16hb hingga 23hb Julai 2011 bertemakan “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”, menyeru para jemaah sekalian untuk sama-sama menghadiri majlis tersebut bagi mendengar dan menghayati kandungan dan pengajaran daripada ayat-ayat suci al-Quran yang akan diperdengarkan oleh para Qari dan Qariah dari seluruh dunia. Semuga dengan kehadiran kita ke majlis tersebut akan menyerikan lagi dan mendapat rahmat dari Allah SWT serta dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45:

 

Maksudnya: “ Dan apabila kamu membaca Al-Qur’an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.

 

 

Yang Ikhlas,

Afez

Advertisements