Cinta dan Tamadun…. versi 2…

Leave a comment

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…

Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…

Assalamualaikum…

                Ini adalah sambungan dari entri yang lepas. Sedikit lagi tambahan dalam Cinta dan Tamadun.

Seperti yang kita lihat, setiap tamadun bermula dengan segolongan manusia yang hidupnya serba kekurangan. Tetapi mereka ini berusaha sedaya mungkin demi memajukan kehidupan mereka dengan mencipta alat-alat yang simple semata-mata untuk memudahkan mereka menjalani rutin seharian.

Contoh mudah yang boleh diambil ialah Tamadun Islam. Islam muncul pada tahun 622 apabila wahyu pertama diturunkan pada rasul terakhir Muhammad bin Abdullah di Gua Hira’, Arab Saudi. Iaitu bersamaan dengan kurun ke-7 masihi. Selepas wafatnya Rasullullah s.a.w. kerajaan Islam berkembang sejauh Lautan Atlantik di Barat dan Asia Tengah di Timur. Lama-kelamaan umat Islam berpecah dan terdapat banyak kerajaan-kerajaan Islam lain yang muncul.

Walau bagaimanapun, kemunculan kerajaan-kerajaan Islam seperti kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Seljuk Turki Seljuk, kerajaan Uthmaniyyah Turki Uthmaniyyah, Empayar Moghul India, dan Kesultanan Melaka telah menjadi antara empayar yang terkuat dan terbesar di dunia. Tempat pembelajaran ilmu yang hebat telah mewujudkan satu Tamadun Islam yang agung. Banyak ahli-ahli sains, ahli-ahli falsafah dan sebagainya muncul dari negeri-negeri Islam terutamanya pada Zaman Keemasan Islam.

Selepas kewafatan Rasulullah saw, terdapat beberapa kerajaan Islam yang berdiri megah bersama-sama dengan kejayaan yang dibawa. Iaitu Khulafa’ Ar-Rasyidin, Kerajaan Bani Umayyah, Kerajaan Bani Abbasiyyah dan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Begitu jugalah dengan kejayaan yang dibawa pada setiap kerajaan ini. Dari permulaannya Islam itu dianut oleh seorang sehinggalah ia menjadi antara agama yang mempunyai ramai penganut. Dari permulaanya tanah Arab itu hanya padang pasir yang kering kontang, sehinggalah menjadi sebuah kerajaan yang megah. Semua ini berlaku mengikut kronologi yang teratur. Begitu sempurna perancanganNya.

Tapi akhirnya Tamadun Islam ini musnah kerana para pemimpin yang menjadi pemimpin tidak lagi menjadikan agama sebagai sumber rujukan. Mereka mula leka dengan kekayaan. Akhirnya kerajaan-kerajaan yang megah itu musnah di tangan musuh.

Begitu jugalah dengan cinta. Cinta itu tidak akan berlaku terus kepada perasaan cinta. Tetapi cinta itu akan dari sekecil-kecil perasaan.

Bermula dengan perasaan suka, kemudian perasaan itu dibiarkan lalu terjadilah persahabatan antara dua insan itu. Dari persahabatan itu akan berlaku rindu-merindui. Dalam proses itu mereka akan meluahkan perasaan rindu itu di antara mereka. Seterusnya, dalam masa beberapa hari, akan berlaku luah-meluahkan perasaan. Itulah dikatakan proses klimaks. Mereka seperti berada di dunia sendiri. Si lelaki dengan khayalannya dan si perempuan dengan khayalannya. Tapi apabila di antara mereka itu tidak ada lagi pegangan dan keyakinan pada agama, itulah yang dikatakan proses kehancuran sebagaimana yang berlaku pada tamadun Islam. Kesudahannya, haruskah kita menyesali setiap apa yang berlaku? Jawablah sendiri. Ingatlah bahawa syaitan itu adalah musuh manusia yang terang lagi nyata.

 

Yang Ikhlas,

Afez

Ramadhan dan tuntutannya…

Leave a comment

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Panyayang…

Sesungguhnya, aku berlindung dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…

Assalamualaikum…

 

EMPAT TUNTUTAN

 
“Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa.” – Surah Al Baqarah: 183

Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah
4. Berlindung denganNya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa:

“Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: “Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus.” Lalu Allah SWT menjawab, “Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu.”

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu “laa ilaha illallah” dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti “astaghfirullah”. Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

“Allahhumma as’alukal jannata wa a’uzubika minannar.”

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayangNya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikanNya, maka layaklah kita sebagai hambaNya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurgaNya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.

Selamat beribadat dan wassalam.

 

Yang Ikhlas,

Afez

 

 

Ramadan al-Mubarak…

Leave a comment

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyeseatkan…

Assalamualaikum…

SIRI 1 : AWAL AL-MUBARAK

“Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya.”

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa.” – HR Tujuh Ahli Hadith

Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semasa ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.

“Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya.”- HR Ahmad & Ashabus Sunan

Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut. Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:

Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh – seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh – seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.

Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Selamat Berpuasa dan wassalam.

 

Yang Ikhlas,

Afez

 

Keistimewaan Pembaca al-Quran di sisi Allah…

Leave a comment

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Sya’ban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “KEISTIMEWAAN PEMBACA AL-QURAN DISISIALLAH SWT”.

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Al-Quran ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan senjata paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan. Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda: Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, Tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat. Kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu  juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Banyak hadith-hadith yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW:

 

Bermaksud:“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)

 

 

 

Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW:

ِ

Maksudnya: “Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya.(Riwayat Muslim)

 

 

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama  dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa  untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.

Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup.kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.

Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke53 yang akan diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur bermula dari 16hb hingga 23hb Julai 2011 bertemakan “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”, menyeru para jemaah sekalian untuk sama-sama menghadiri majlis tersebut bagi mendengar dan menghayati kandungan dan pengajaran daripada ayat-ayat suci al-Quran yang akan diperdengarkan oleh para Qari dan Qariah dari seluruh dunia. Semuga dengan kehadiran kita ke majlis tersebut akan menyerikan lagi dan mendapat rahmat dari Allah SWT serta dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45:

 

Maksudnya: “ Dan apabila kamu membaca Al-Qur’an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.

 

 

Yang Ikhlas,

Afez

Cinta dan Tamadun??…

Leave a comment

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan….

Assalamualaikum…

 

Manusia sering menganggap bahawa cinta itu harus memiliki. Jika kita cinta kepada seseorang itu maka kita harus memiliknya. Apabila manusia itu jatuh cinta, dengan secara automatiknya dia harus mendapatkan cinta orang yang dicintainya walauapapun caranya. Persoalannya, apakah benar pandangan seperti ini?

Sebernanya itu adalah satu tanggapan yang salah ataupun lari hukum alam. Cinta, dalam erti kata lain cinta itu sebernanya bermaksud pengorbanan. Pengorbanan yang harus kita lakukan demi melihat orang yang tersayang bahagia. Ianya dapat dibuktikan melalui Islam. Bagaimana kita membuktikan bahawa kita cintakan Islam, cintakan Allah swt dan cintakan Rasulullah? Adakah dengan cara kita memiliki jasad mereka?

Jawapannya sudah tentu tidak. Tapi bagaimana kita ingin membuktikan bahawa kita cintakan semua itu? Hanya satu jawapan yang mampu menjawabnya, iaitu pengorbanan.

Contohnya, bagaimana kita cintakan Allah swt? Dengan mengerjakan solat, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang, amar makruf nahi munkar dan sebagainya. Itulah tanda bahawa kita mencintaiNya.

Bagaimana pula kita membuktikan bahawa kita mencintai Rasulullah? Jawapannya adalah dengan sentiasa berselawat ke atas baginda, mengamalkan sunnah Baginda, dan sebagainya.

Daripada beberapa contoh di atas kita boleh lihat bahawa cinta itu tidak semestinya memiliki tetapi cinta sebernanya boleh diertikan sebagai kayu ukur untuk kita lihat sejauh mana seseorang itu matang dalam mengendalikan cinta mereka. Cinta juga sebagai wadah untuk menjadikan seseorang manusia itu matang dari segi pemikiran, perlakuan dan percakapan.

Cinta ini sebernanya hampir sama maksudnya dengan Tamadun.

Tamadun berasal dari perkataan Arab  iaitu madana, mudun, madain yang bererti pembukaan bandar atau masyarakat yang mempunyai kemajuan dari segi lahiriah dan rohaniah. Perkataan tamadun dapat diertikan kepada keadaan hidup bermasyarakat yang bertambah maju atau kayu ukur kepada kemajuan sesuatu masyarakat itu. Istilah-istilah lain yang sama pengertiannya dengan tamadun adalah: umran, hadarah, madaniyah. Dalam bahasa Inggeris, istilah yang hampir sama dengan tamadun ialah culture and civilization atau kebudayaan dalam bahasa Melayu.
Sebagai pengajarannya, cinta itu tidak semestinya memiliki dan bukanlah sesuatu yang harus ditangisi jika ia boleh hilang dengan sekelip mata. Sebaliknya jadikanlah cinta itu sebagai wadah untuk kita menjadi lebih matang dalam hidup dan Islam.
Yang Ikhlas,
Afez

Keistimewaan Israk dan Mikraj…

Leave a comment

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…

Assalamualaikum…

 

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
  •  Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  •  Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
  •  Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
  •  Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

2. Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

  • Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
  •  Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.
  •  Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.
  • Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
  • Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
  • Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
  •  Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
  • Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
  •  Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
  • Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..

 

Yang Ikhlas,

Afez

Saka dan Racun….!!!

Leave a comment

Dengan nama yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…

Assalamualaikum…

                Di zaman yang serba canggih ini kita masih lagi sering diperdengarkan dengan kes-kes dan kejadian-kejadian yang pelik dan menyeramkan apatahlagi yang melibatkan jin dan syaitan. Walaupun kita berada pada era kemajuan dan pembangunan, namun masih ada segelintir atau sesetengah yang masih berfikiran kolot dan bergangtung harap selain kepadaNya. Bahkan, hal seperti ini akan menyusahkan lagi hidup selain daripada menyesatkan.

Ingatlah pesan Allah swt dalam al-Quran, mafhumnya “Tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaku”. Dan Allah swt juga telah menegaskan bahawa manusia dan jin tidak boleh bersatu kerana manusia dan jin hidup di alam yang berbeza. Artikel kali ini akan membincangkan isu mengenai SANTAU DAN RACUN. Tujuannya bukanlah untuk menakutkan, tapi untuk sekadar berkongsi ilmu.

Santau dan racun menurut para perawat tradisional tidak pasti perbezaannya.  Ramai dalam kalangan mereka berpendapat bahawa kedua-duanya adalah sama. Hal ini berlaku adalah kerana bahan-bahan yang digunakan untuk membuat santau dan racun adalah sama. Rawatannya juga adalah sama.

Terdapat beberapa cirri sahaja yang boleh dijadikan panduan bagi mengenal pasti sama ada seseorang itu terkena racun atau santau. Pada kebiasaannya, mansa racun akan menderita serta merta seperti berlakunya muntah yang mengeluarkan bahan-bahan kotor seperti darah atau kaca.

Mangsa santau pula mengambil masa yang agak lama menyebabkan mangsa tidak menyedari sehinggalah mangsa tersalah makan seperti limau nipis dan nenas. Ini adalah disebabkan mangsa santau adalah amat sensitif dengan limau nipis dan nenas.

 

Jenis-jenis santau:

Jenis yang pertama:

Santau yang diperbuat daripada adunan tertentu secara hakiki iaitu tidak melibatkan peranan jin dan syaitan. Jenis ini agak mudah untuk dirawat.

 

Jenis yang kedua:

Santau yang disertakan dengan pemujaan terhadap jin dan syaitan. Ia dikenali sebagai santau angin dan ianya agak sukar untuk dirawat kerana melibatkan peranan jin.

 

Tanda-tanda terkena santau:-

  • Batuk yang berlarutan, adakalanya batuk berdarah dan keluar nanah dan keluar debu-debu kecil seperti serbuk kaca.
  • Istihadhah yang berpanjangan bagi wanita sehingga satu hingga tiga bulan atau lebih.
  • Sakit tulang belakang terutamanya pada waktu Maghrib dan malam Jumaat. Kadang-kadang sakit menjadi-jadi semasa hendak masuk waktu solat Jumaat.
  • Sakit dan sesak nafas terutama pada waktu Maghrib.
  • Lenguh seluruh anggota badan.
  • Kuku menjadi hitam dan nafas menjadi busuk.
  • Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
  • Mimpi bahan-bahan miang seperti miang buluh dan ulat bulu.
  • Mimpi bermain dengan benda tajam seperti pisau dan sembilu.
  • Mimpi kanak-kanak kecil seperti mimpi menyusukan kanak-kanak tersebut.
  • Mimpi binatang yang menakutkan seperti ular.
  • Mimpi makan makanan yang kotor seperti bangkai dan babi.
  • Mimpi paderi Kristian, sami Buddha atau pergi ke tempat-tempat ibadat bukan Islam yang lain.

 

Kesan-kesan santau:

v  Boleh membawa maut tetapi jika dengan keizinan dari Allah swt.

v  Hilang daya ingatan.

v  Kulit akan merekah serta keluar air dan nanah.

v  Tabiat akan berubah seperti orang yang dikenali sebagai seorang yang penyabar bertukar menjadi panas baran.

v  Badan menjadi bongkok kerana batuk yang berpanjangan.

v  Badan menjadi licin kerana seluruh bulu dibadan telah gugur.

v  Kelopak mata menjadi kehitaman kerana tidur yang sering terganggu.

v  Terjadinya kanser dan ketumbuhan

v  Jika pesakit hamil akan mengalami keguguran.

Berubatlah jika terdapat tanda-tanda di atas!!

 

Rawatan:

Berjumpa dengan pengamal rawatan Islam.

Amalkan ayat-ayat pelindung.

Solat di awal waktu.

Menjaga kebersihan seperti jangan biarkan kuku terlalu panjang.

 

Apa yang penting adalah supaya kita sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada semua ini. Janganlah sesekali bergantung harap selain daripadaNya. Waallahu’alam…

 

Yang Ikhlas,

Afez

Older Entries